JANUARI 2024

Sarawak Bakal Muktamadkan Penambahan Pegangan Saham Affin Bank


KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak akan memuktamadkan rundingan dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berhubung penambahan pegangannya dalam Affin Bank Berhad dalam masa terdekat.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rundingan bersama Affin Bank dan LTAT masih lagi diteruskan berhubung urus niaga saham tambahan.

Ketika ini, Kerajaan Sarawak memegang 4.796 peratus kepentingan dalam Affin Bank melalui cabang pelaburannya, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak yang diperoleh pada harga RM1.97 sesaham atau sebanyak RM221.74 juta pada April 2023.

“Kita nampak prestasi Affin Bank sangat baik, pada asasnya kita melakukan risikan pasaran. 

“Jadi, tidak lama lagi, dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena Sesi Tinjauan Pasaran Malaysia 2024 anjuran Kumpulan Affin di Menara Affin Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur, hari ini.

Menjawab soalan mengapa Sarawak berminat untuk memiliki lebih pegangan dalam bank berbanding negeri lain, Abang Johari berkata negeri ini dahulunya mempunyai enam bank termasuk Bank Utama dan Wah Tat Bank.

Namun katanya, semua bank-bank tersebut ‘ditelan’ oleh bank-bank besar selepas Kerajaan Persekutuan memperkenalkan polisi penggabungan kesemua bank-bank kecil ini.

"Kita merasakan Sarawak memerlukan bank untuk meningkatkan perusahaan kecil dan sederhana kami dan aktiviti perniagaan di Sarawak. 

“Sudah tentu, kita sedang melihat Affin (Bank). Dari segi perbincangan dengan LTAT, kita lebih konklusif,” katanya.

Untuk rekod, LTAT memegang 29.7 peratus kepentingan langsung, manakala unit milik penuhnya Boustead Holdings Bhd memegang 20.65 peratus.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad Datuk Wan Razly Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta dif-dif kenamaan lain.